Sinopsis
Lili seorang anak remaja yang
menetap di bandar. Dia pulang ke kampung sebelah ibunya pada musim cuti
persekolahan atas desakan ibunya. Demi tidak melukakan hati seorang ibu,
Lili menurut walau pun batinnya melawan. Di sana beliau
diserkap tanda tanya tentang hampir semua rumah di kampung itu dibina
dengan jendelanya menghadap jalan. Hal inilah yang menjadi persoalan
yang bermain di minda Lili. Persoalan yang sering diajukan kepada datuk
dan deneknya, tetapi jawapan mereka sering ditangguhkan dan ini menambahkan
perasaan ingin tahu Lili. Di kampung, ada remaja yang menjadi
rakan Lili seperti, Danel dan Geetha yang pernah ditemui sewaktu di
dalam bas ke Dungun. Di Kampung Sentosa ini ada juga remaja yang menjadi watak
antagonis seperti Rafik dan Haziq.Watak remaja nakal (pada awalnya dan berubah
menjadi baik pada akhirnya) yang sengaja diwujudkan sebagai memberitahu kepada
para pembaca remaja sekalian yang sekali jahat bukan selama-lamanya akan jahat.
Watak mereka juga sebagai motivasi bagi para remaja bahawa masih belum
terlambat untuk berbuat baik dan bertaubat.Lili menetap di kampung bersama
dengan datuk dan neneknya di sebuah rumah kampung yang jendelanya menghadap
jalan.
Duduk di kampung, Lili dapat
berasakan bahawa penduduknya agak pelik.Datuk sangat berpegang kepada adat
tradisional di samping watak remaja iaitu Danel yang dihadirkan sama sebagai
'penentang' kepada perubatan tradisional datuk.Mereka saling mengemukakan
hujah-hujah untuk memenangkan diri masing-masing.Si datuk tetap menolak
kehidupan moden dengan berpendapat bahawa kehidupan moden bakal memusnahkan
perkara yang diwarisi turun -temurun.
Danel pula dengan
tidak menghukum adat tradisional kesemuanya, berpendapat segala yang diciptakan
pada zaman moden ini adalah untuk memudahkan kehidupan manusia dan
menjadikannya lebih senang untuk dikendalikan. Akan tetapi apabila berlakunya kes
penculikan terhadap Lili perwatakannya berubah.Penceritaan lebih tertumpu
kepada keluarga Che Jah, ibu kepada watak Rafik dan Haziq yang telah menculik
Lili tanpa disengajakan. Lili cuba menyelami permasalahan yang berlaku dalam
keluarga Che Jah. Rafik dan Haziq terlibat dalam gejala sosial disebabkan oleh
bapanya, Seman yang bersikap panas baran, pemabuk ,kaki judi dan tidak
bertanggungjawab. Lili meminta pendapat Kak Mimah seorang daripada pesakit
datuk mengenai kes keganasan rumah tangga. Hal ini kerana Kak Mimah bekerja
sebagai penolong pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat,Bahagian Warga Tua dan
Keluarga.Kak Mimah berjanji akan cuba membantu menyelesaikan kes keluarga Che
Jah. Akhirnya,kes keluarga Che Jah berjaya diselesaikan dengan kerjasama Kak
Mimah.
Penduduk kampung menyalahkan
datuk yang dituduh cuba melindungi Che Jah kerana datuk pernah memberikan
pekerjaan kepada suami Che Jah. Datuk juga dipersalahkan kerana tidak
melaporkan kes penculikan Lili.Selain itu,datuk juga dituduh pengkhianat bangsa
kerana datuk dikatakan bersubahat dengan Pak Cik William dan abang Danel ,Sugi
yang ingin membeli tanah milik penduduk kampung untuk dimajukan menjadi kawasan
perumahan.
Ibu berasa pelik kerana Lili tidak merungut tentang hari-hari yang telah dilalui di kampung datuk dan nenek.Lili berasa pengalaman yang diperoleh sepanjang dia berada di kampung amat bermakna.Lili,Geetha dan Danel menyaksikan matahari terbit di jeti nelayan. Mereka berjanji akan terus berhubung melalui surat ,telefon dan e-mel. Datuk,Haji Abdul Rahman bercerita mengenai sejarah jendela yang menghadap jalan tetapi cerita tersebut tidak terperinci dan beliau berjanji untuk bercerita lagi Lili apabila Lili pulang ke kampung nanti . Datuk memulakan ceritanya sewaktu zaman penjajahan tentera Inggeris. Kisah hidup datuk dan nenek Lili penuh dengan penderitaan namun sejarah hidup mereka belum habis diceritakan kepada Lili begitu juga tentang jendela menghadap jalan.
Pada pengakhiran cerita ini, Danel dan Lili saling berhubungan antara satu sama lain dan bercerita tentang diri masing-masing. Mereka juga turut bercerita tentang Che Jah yang telah mendapat pembelaan yang sewajarnya manakala Rafik dan Haziq telah berubah menjadi baik. Mereka akan menduduki peperiksaan PMR sebagai calon persendirian. Lili tidak sabar untuk kembali ke Kampung Sentosa kerana mahu mengutip cerita datuk tentang jendela menghadap jalan dan cerita nenek tentang sejarah hidupnya bersama-sama datuk hingga ke saat ini.
0 Comments