SOALAN:
Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
Mutakhir ini, kita sering kali dikejutkan dengan kejadian bencana alam yang melanda hampir kebanyakan negara serta telah meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata ingin mengejar kemajuan. Apakah langkah-langkah yang boleh kita laksanakan untuk menjaga alam sekitar?
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menjaga alam sekitar ialah semua rakyat perlu mengamalkan kitar semula. Kempen kitar semula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Sebanyak 40 peratus sampah sarap seperti tin, besi buruk, botol, kertas dan barangan plastik boleh di kitar semula. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar dan menambahkan pendapatan keluarga. Tegasnya, amalan kitar semula yang dipraktikkan oleh semua rakyat Malaysia dapat memelihara alam sekitar di negara kita.
Langkah seterusnya yang efektif dalam penjagaan alam sekitar adalah dengan menggalakkan tanaman hijau. Tanaman pokok seperti pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran sangat berguna dalam kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. Sebagai contohnya, pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh menggalakkan aktiviti penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran untuk menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan pihak kerajaan bagi memulihara alam sekitar. Kesannya, alam sekitar yang hijau dapat memberikan udara yang nyaman dan segar kepada penghuninya sekali gus dapat menghijaukan alam sekitar. Jelaslah, galakan dalam aktiviti penanaman pokok dapat memelihara alam sekitar kita daripada tercemar.
Sebagai intihanya, pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan pelbagai langkah yang diambil oleh pelbagai pihak kerana memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Sesungguhnya alam sekitar ini merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dan bergabung tenaga ibarat ke bukit sama didaki,ke lurah sama dituruni untuk memikul amanah menjaga dan memelihara alam sekitar kita. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat melestarikan keindahan alam sekitar yangmenjadi platform kepada kesihatan rakyat di negara kita. Hal ini bersesuaian dengan cogan kata ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat.
’
0 Comments