Selamat datang ke blog cikgunas.com >>>> Ilmu Bermanfaat Dikongsi Bersama cikgunas.com

Contoh Karangan SPM 4

Dunia remaja dikatakan sebagai dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Bincangkan penyataan di atas.



Remaja dapat didefinisikan sebagai individu yang berusia di antara 13 hingga 24 tahun. Zaman remaja merupakan proses persediaan individu untuk melangkah kea lam dewasa. Dunia remaja dipenuhi pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh para remaja. Jati diri yang utuh dan keimanan yang kuat diperlukan oleh para remaja bagi mengelakkan diri daripada tergelincir daripada norma-norma kehidupan yang sebenar.

    Antara cabaran yang remaja mesti ditempuhi dalam kehidupan ialah cabaran sosial. Generasi pascamerdeka kini lebih mementingkan budaya popular dan hedonisme berbanding dengan agama. Pengaruh-pengaruh Barat yang berjaya meracuni fikiran mereka menyebabkan mereka alpa dan lalai dengan dunia. Sebagai remaja yang pintar, kita seharusnya tidak mengamalkan keseronokan melebihi ketaatan kepada agama. Sebagai contoh, budaya berpasang-pasangan kini merupakan perkara biasa bagi golongan remaja. Hal ini, mencetuskan pelbagai gejala sosial rentetan pergaulan bebas para remaja. Remaja seharusnya mempunyai jati diri yang utuh untuk menangkis pengaruh negatif. Tuntasnya, remaja harus bijak mengatasi cabaran sosial yag dihadapi.

    Selain itu, remaja kini berdepan dengan cabaran pelajaran yang kian meningkat. Hal ini demikian kerana persaingan dalam kalangan remaja dalam bidang akademik amat hebat. Remaja kini bersaing untuk mendapatkan pencapaian gemilang dalam peperiksaan bagi melayakkan mereka mendapat tawaran belajar di luar Negara. Para remaja harus bijak mengatur strategi belajar bagi mencapai keputusan seperti yang diharapkan. Sebagai tamsilan, remaja harus mempunyai jadual waktu belajar bagi memudahkan mereka mengatur masa untuk menelaah pelajaran. Hal ini dapat membantu para remaja untuk belajar secara konsisten dan mengurangkan tekanan yang dihadapi. Hasilnya, keputusan yang cemerlang dapat dicapai. Tegasnya, remaja harus pandai mengorak langkah menuju kejayaan.

    Seterusnya, dunia remaja juga sentiasa dipenuhi dengan cabaran emosi yang tidak stabil. Remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang dapat mengganggu kestabilan emosi. Dalam hal ini remaja harus bijak mengatasi gangguan emosi tanpa membiarkannya menular bagai kanser yang merosakkan anggota badan. Para remaja seharusnya berfikiran positif dan sentiasa bersikap terbuka agar masalah yang memeningkan kepala ini dapat diselesaikan. Uswahnya, remaja harus bijak mengatasi perasaan sedih agar perasaan itu tidak mematahkan semangat untuk berjaya dalam perkara yang sedang diusahakan. Ironinya, remaja perlu menganggap segala musibah sebagai dugaan dan mempunyai hikmat yang tersendiri. Oleh itu, remaja harus kreatif dalam menggunakan sumber yang ada untuk menjana pendapatan.

    Selain itu juga, dunia remaja dipenuhi dengan cabaran mental dan fizikal. Remaja akan mengalami proses transformasi fizikal dan mental yang menyebabkan mereka menjadi lebih matang. Para remaja harus mempunyai mental yang kuat untuk menghadapi cabaran agar kecamukan minda dapat dihindari. Selain itu, remaja harus sentiasa berpandangan jauh agar mental tidak tertekan dan sukma tidak menjadi resah.Para remaja juga harus menguatkan lagi fizikal mereka agar bias melakukan aktiviti harian dengan sempurna. Sebagai tamsilan, remaja harus mempunyai mental dan fizikal yang kuat ketika menghadapi peperiksaan. Remaja harus bijak mengatasi stress agar kesihatan diri terjamin. Intihanya, kekuatan mental dan fizikal penting untuk kesihatan remaja.

    Sebagai akhir kalam, remaja harus bijak menghadapi cabaran yang mendatang sebagai persediaan melangkah kea lam dewasa. Remaja juga harus menimba pengalaman berdasarkan cabaran yang dihadapi untuk digunakan pada masa hadapan. Selain itu, remaja harus membuka fikiran mereka dan sentiasa berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi. Remaja merupakan cerucuk utama pelapis kemajuan Negara. Oleh itu, kita haruslah bijak mengatasi cabaran agar modal insane kelas pertama yang gemilang dari segenap perspektif dapat dilahirkan.


cikgunas.com

Post a Comment

0 Comments