Selamat datang ke blog cikgunas.com >>>> Ilmu Bermanfaat Dikongsi Bersama cikgunas.com

Novel Jendela Menghadap Jalan- Bab 1- Bab 10


Novel Jendela Menghadap Jalan merupakan komsas Tingkatan 4. Pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pastinya memerlukan bahan untuk mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi, dalam matapelajaran Bahasa Melayu yang mempunyai penulisan karangan dan juga Komponen Sastera (KOMSAS). Di bawah dikongsikan nota yang berkaitan Novel Jendela Menghadap Jalan : Sinopsis Bab 1- Bab 10 untuk rujukan semua.







Lili yang akan tamat persekolahan menengahnya, bercadang untuk menghabiskan cuti di kampung datuk dan neneknya dalam Daerah Dungun, Terengganu. Sebenarnya perasaan Lili tidak gembira untuk pulang bercuti ke kampung, namun terpaksa berpura-pura demi menjaga hati ibunya.






Perjalanan pulang ke kampung dihantar oleh ayah ke perhentian bas ekspres dengan menyandang dua buah beg pakaian. Lili berpakaian tebal ketika itu kerana musim tengkujuh. Dari Kuala Lumpur ke kampung datuk neneknya mengambil masa selama lapan jam perjalanan. Di dalam bas Lili sibuk membaca buku Panduan Pemakanan Sihat Melalui Sayur-sayuran dan Buah-buahan. Lili berkenalan dengan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuruteraan Awam, Universiti Malaya yang bernama Geetha juga ingin menuju ke daerah yang sama. Mereka bersembang tentang masa depan. Lili menyedari bahawa dia sedang diperhatikan oleh seorang pemuda Cina atau kacukan.






Geetha telah turun di Pekan Sejahtera lebih awal sebelum sampai ke Pekan Sentosa. Lili sedang menunggu Abang Rashid untuk mengambilnya pulang. Dalam kesibukan Lili disapa semula oleh pemuda tersebut kerana tertinggal buku penjagaan kesihatannya. Pemuda itu mempelawanya untuk tumpang sama, tetapi Lili menolak pelawaan itu kerana dia sedang menunggu Abang Rashid untuk pulang.






Lili melihat keindahan kampung yang nyaman dan begitu damai dengan sawah bendang luas terbentang. Lili bertemu dengan nenek di bendang, lalu bersalaman dan bertanya khabar. Menurut nenek, datuk sibuk dengan urusan gotong-royong menaikkan kubah masjid kampung bersama-sama dengan masyarakat kampung.






Datuk bercerita tentang keunikan reka corak jendela dan pintu. Sepanjang malam pula datuk begitu pakar bercerita kemujaraban akar-akar kayu ubat yang dapat menyembuhkan penyakit secara tradisional. Menurut datuk, khasiat tumbuh-tumbuhan lain juga menjadi amalan penduduk-penduduk kampung dalam pemakanan dan pengubatan tradisional, malah pihak hospital juga menggunakan herba sebagai bahan untuk mengubat penyakit. Tetapi nenek menegur datuk supaya tidak mempengaruhi segala pendapatnya berkaitan dengan pengubatan tradisional yang belum tentu kepastiannya.






Ketika kedengaran bunyi hujan turun, nenek mengarahkan Lili menutup semua cermin yang terdapat di dalam rumah dengan kain sarung bertujuan untuk terbalikkan mata kilat. Kemudian nenek membakar kulit bawang putih pemberian perempuan berbangsa India, Letchumi, supaya isi rumah berbau wangi. Ibu Lili pula lebih suka seni taman ala Bali, yang dipenuhi reka bentuk dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, tahan lasak dan menghalau nyamuk. Manakala, di halaman rumah, ditanam dengan herba pembuka selera makan. Masyarakat kampung lebih gemar berurusan dengan datuk apabila berdepan dengan masalah kesihatan dan menjadi kepercayaan serta sumber rujukan.






Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan Geetha. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha. Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia mengamalkan minuman herba buatan datuknya yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk. Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi kelihatan begitu sihat. Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan tradisional dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini. Lili berasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.






Datuk banyak mengajar Lili berkaitan dengan ilmu keagamaan, malah datuk selalu menguji Lili tentang ilmu-ilmu keagamaan yang selama ini Lili tidak mengetahuinya. Datuk mengakui bahawa ibu Lili tidak kisah dengan ilmu-ilmu keagamaan adalah berpunca daripada kesilapannya. Semasa zaman kanak-kanak ibu Lili lebih berminat belajar silat di gelanggang Tuk Wali berbanding ilmu agama. Tambahan pula setelah berjaya melanjutkan pelajaran keluar negara, menjawat jawatan penting dan berumah tangga sehingga terlupa segala-galanya. Sepanjang berada di kampung, Lili merasa keenakan buah-buahan tempatan yang terdapat di dusun yang dikutip oleh Abang Rashid. Pak Sahak datang ke rumah datuk memaklumkan bahawa berlaku kekecohan di surau kerana William cuba mempengaruhi penduduk-penduduk kampung supaya tidak mempercayai pengubatan tradisional di samping memujuk supaya menjualkan tanah bagi tujuan membina rumah sewa.






Danel anak bongsu William Ng berkunjung ke rumah datuk untuk menjelaskan isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat kampung berkaitan pembinaan kubah surau. Wakil Rakyat telah memberi pilihan sama ada ingin membina sebuah dewan masyarakat atau mendirikan sebuah masjid. Kebanyakan penduduk kampung memilih untuk membina kubah surau berbanding  membina sebuah masjid kerana masalah kekurangan tanah. Di samping itu juga, Danel telah menjelaskan kebaikan mendapatkan rawatan moden berbanding dengan rawatan tradisional. Hujah-hujah telah dikemukakan oleh Danel dari segi sains perubatan untuk meyakinkan penduduk-penduduk kampung termasuk datuk, walaupun datuk sukar untuk menerima hakikatnya. Memang kaedah perubatan tradisional baik jika digabungkan dengan kaedah perubatan moden, kerana semua bahan ramuan tradisional diawet dalam bentuk moden supaya penggunaannya lebih selamat dan terjamin mengikut kaedah saintifik. Danel terpaksa berhujah secara berhemah demi menjaga hati datuk agar tidak terguris.




 
Datuk tetap sayang akan pekerjaannya sebagai pengubat tradisional, kerana masih ramai penduduk yang percaya dengan rawatan tersebut termasuk ibu Geetha. Hati datuk tersentuh dengan penerangan yang diberikan oleh Danel, walaupun hujah-hujah yang diberikan itu belum tentu dapat meyakinkannya. Jangkaan Datuk juga kuat mengatakan William juga tidak dapat menerima penerangan yang diberikan oleh Danel. Jika dahulu semua kata datuk boleh diterima pakai oleh penduduk-penduduk kampung termasuk William, malah berjaya mengislamkannya, tetapi kini tidak lagi. Nenek pula sekarang sudah mula menyindir dan menidakkan kata-kata datuk. Sugi anak sulung William pula telah menggalakkan pemaju datang untuk membangunkan tanah penduduk-penduduk kampung, yang akhirnya berlaku pertelagahan antara penduduk sama ada mahu menjual tanah atau sebaliknya.

Post a Comment

0 Comments